Di antara kira-kira 100 buah buku karangan Imam Al-Ghazali
Hujjatul-Islam, terdapat sebuah buku yang berjudul Bidayatul Hidayah (Permulaan
Jalan Hidayah). Melalui buku ini, Imam Al-Ghazali menerangkan amalan-amalan
atau apakah aktiviti harian yang patut dibuat oleh setiap orang Islam, pada
setiap hari dan malam, sepanjang hidupnya. Mengikut Imam Al-Ghazali, inilah
satu panduan atau jadual hidup harian yang lengkap, yang patut diamalkan oleh
setiap orang Islam. Berikut ini nasihat Imam Al-Ghazali mengenai aktiviti yang
patut dibuat di waktu pagi, selepas solat sunat Dhuha, hingga menjelang waktu
gelincir matahari, iaitu masuknya waktu untuk solat fardhu zuhur. Ada 4 perkara
yang boleh dibuat, kata Imam Al-Ghazali.
1)
Yang terlebih afdal, bahawa
engkau habiskan waktumu itu dengan mencari Ilmu yang bermanfaat, bukan ilmu
yang sia-sia yang sangat diminati orang sekarang ini, yang mereka namakannya
ilmu manfaat (padahal ia bukan ilmu yang bermanfaat. Ilmu yang bermanfaat ialah
ilmu yang menambah takut dirimu kepada Allah, dan menambah penglihatanmu
terhadap aib dirimu, dan menambah makrifatmu dalam engkau beribadat kepada
Tuhan, dan menyedikitkan kegemaranmu terhadap negeri dunia, dan menambah
kegemaranmu terhadap negeri akhirat, dan membukakan pintu hatimu untuk
mengenali bermacam-macam penyakit amalanmu sehingga engkau dapat menjauhinya.
Dan ilmu yang bermanfaat itu ialah ilmu yang menambah pengetahuanmu terhadap
tipu helah syaitan dan penipuannya, sehingga engkau arif dengan kehalusan
penipuan syaitan ketika ia menggoda ulama su’ dan berjaya menjadikan mereka
sebagai sasaran kemurkaan Allah, kerana mereka telah membeli dunia dengan
agama, dan menjadikan ilmu sebagai alat untuk mengambil harta sultan, memakan
harta wakaf, harta anak yatim, harta orang miskin dan harta orang Islam. Di
sepanjang hari, mereka hanya menghabiskan masa untuk mencari pangkat dan
kedudukan di hati manusia. Untuk itu mereka sanggup menunjukkan segala
kebolehan di hadapan orang ramai dan memperlihatkan kefasihan lidah mereka
dalam berbahas dan berbincang.
Apabila engkau telah cuba mengamalkan
wirid-wirid dan ibadat dan engkau dapati akan dirimu tidak merasakan sebarang
keberatan dan tidak merasa malas melaksanakannya, bahkan Nampak pada dirimu
minat yang sangat mendorong engkau untuk mencari lagi Ilmu itu kecuali hanya
keredhaan Allah dan negeri akhirat, maka engkau menuntut ilmu ketika itu lebih
afdal daripada ibadat-ibadat sunat. Dan yang paling penting hendaklah engkau
memastikan keikhlasan niatmu (kerana niatlah yang menentukan nilai amalanmu).
Apabila niatmu tidak ikhlas maka disinilah tempat terpedayanya orang-orang yang
jahil dan di sini pula tempat tergelincirnya kaki orang-orang yang cerdik
pandai.
2)
Kedua, bahawa engkau tidak
berkuasa menghasilkan ilmu yang bermanfaat tetapi engkau kuasa berbuat ibadah
seperti berzikir, membaca al-Quran, bertasbih dan sembahyang. Maka ini adalah
darjat orang yang abid’ dan cara hidup orang yang soleh. Dengan cara ini juga
engkau dapat tergolong di dalam kumpulan orang yang beruntung.
3)
Bahawa engkau membuat
sebarang pekerjaan yang dapat memberi kebaikan kepada orang-orang Islam dan
dapat menggembirakan hati orang-orang yang beriman, atau engkau menolong orang
yang soleh di dalam pekerjaan mereka seperti berkhidmat kepada para ulama dan
ahli sufi dan ahli-ahli agama dan berulang alik dalam menunaikan hajat mereka,
atau berusaha untuk memberi makanan kepada fakir miskin atau menziarahi orang
sakit atau menghantar jenazah, maka semua ini adalah lebih afdal daripada
semata-mata ibadah sunat sahaja, kerana amalan yang seperti ini selain sebagai
satu ibadat ia juga merupakan pertolongan kepada orang lain.
4)
Jikalau engkau tidak dapat
membuat salah satu daripada tiga perkara yang tersebut tadi maka berusahalah
untuk menunaikan hajatmu sendiri dan mencari nafkah bagi dirimu dan keluargamu,
sedangkan orang ramai selamat daripada sebarang gangguanmu, dan mereka juga
selamat daripada bahaya lidah dan tanganmu. Dan agamamu pula selamat, iaitu
apabila engkau tidak terlibat dengan sebarang kemaksiatan. Maka dengan itu
engkau akan dapat mencapai darjat Ash-habul Yamin, sekiranya engkau tidak dapat
mencapai darjat As-Sabiqin.
[Imam al-Ghazali, Bidayatul Hidayah, (Terj. Abu Ali
Al-Banjari An-Nadwi), 2008, Wholesale-Mant Business Point S/B, Kuala Lumpur;
ms. 65-69]