Wanita Sejati.....adalah wanita suri teladan,
lembut tanganmu mampu mengurai 1000 masalah,
di bawah ayunan buaian oleh jemari halusmu,
kau kan mampu menggoncang dunia,
darimu jualah kan lahir cahayamata
yang menyinari dunia dengan pancaran keimanan.
kau dilahirkan bersifat penghuni syurga,
lemah lembut, penyantun, penyabar dan pemalu,
pelihara lah dirimu selalu dengan berhijab,
perbetulkanlah dirimu selalu kerana ditakuti,
nafsumu yang 9 dan akalmu yang 1,
tidak mampu mengharungi kemelut dunia yang serba palsu ini....
dekatkan dirimu selalu kepada ALLAH,
dan sentiasa bertaubat dan malu atas keterlanjuran di masa lalu.
bila kau disunting sebagai isteri yang setia,
utamakan lah menguruskan rumahtangga,
menjaga amanah dan harta suamimu,
mengasuh dan mendidik anak-anak ke jalan yang benar,
muliakan lah ahli keluargamu dan suami,
taatilah perintah ALLAH dan jauhkanlah laranganNYA,
serta manis dalam menjalin Sunnah Rasul tercinta....
Insya-Allah kau adalah wanita sejati.....
Bersyukurlah kerana kau dilahirkan sebagai seorang WANITA SEJATI......
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Ada Empat wanita mulia yang juga penghulu segala wanita, mereka itu ialah Asiah binti Muzahim (Isteri Firaun), Maryam binti Imran (Bonda Isa Al-Masih), Khadijah binti Khuwailid (isteri Rasulullah), dan Fatimah binti Muhammad (Puteri Kesayangan Rasulullah)”. (Riwayat Bukhari)
Asiah adalah simbol teladan bagi wanita beriman yang tetap mempertahankan keimanannya kepada Allah, meskipun hidupnya sebumbung bersama suaminya, Firaun, yang tidak beriman kepada Allah.
Maryam pula adalah sImbol wanita yang dalam ibadah dan tinggi darjat ketakwaannya kepada Allah serta mampu memelihara kesucian diri dan kehormatannya ketika mengabdikan dirinya kepada Allah.
Khadijah pula adalah simbol isteri yang setia tanpa mengenal penat lelah mendampingi suaminya menegakkan panji-panji kebenaran islam, berkorban jiwa raga dan segala harta, rela menanggung pelbagai risiko dan cabaran demi menyebarkan risalah Islam yang diamanahkan dibahu Rasulullah.
Akhirnya ialah Fatimah. Beliau adalah lambang pelbagai dimensi wanita solehah; anak yang soleh dan taat kepada ayahandanya, isteri yang setia dan taat terhadap suaminya serta ibu yang bijaksana untuk putera-puterinya. Beliaulah mendahului segala wanita dan seorang wanita misali yang setiap detik kehidupan yang dilaluinya sewajarnya dijadikan ikutan para muslimah.
Betapa pentingnya wanita di sisi lelaki. Apa tidaknya, lelaki akan terasa sunyi tanpa wanita. Masih mencari walaupun sudah ada segala-galanya.
Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki, tetapi kalau lelaki sendiri yang tidak lurus, tidak mampu untuk meluruskan mereka.
Tak logik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus. Luruskanlah wanita dengan cara petunjuk Allah, kerana diciptanya begitu rupa oleh mereka. Didiklah mereka dengan panduan dariNya.
Jangan cuba jinakkan mereka dengan harta, nanti mereka semakin liar, jangan hiburkan mereka dengan kecantikan, nanti mereka semakin menderita...
Yang sementara itu tidak akan menyelesaikan masalah, kenalkan mereka kepada Allah, zat yang kekal, di situlah kuncinya. Akal setipis rambut, tebalkan dengan ilmu. Hati serapuh kaca, kuatkan dengan iman. Perasaan selembut sutera, hiasilah dengan akhlak.
Suburkanlah kerana dari situlah nanti mereka akan nampak kebesaran Tuhan. Akan terhibur dan berbahagialah mereka walaupun tidak jadi ratu cantik dunia, presiden ataupun perdana menteri atau women gladiator. Bisikkan ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan satu kelemahan.
Sebaliknya disitulah kasih sayang Tuhan, kerana rahim wanita yang lembut itulah yang mengandungkan lelaki-lelaki pelbagai wajah: negarawan, karyawan, jutawan dan wan-wan yang lain. Wanita yang lupa hakikat kejadiannya pasti tidak terhibur dan menghiburkan. Tanpa ilmu, iman dan akhlak, mereka bukan saja tidak lurus, malah membengkokkan.
Bila wanita derhaka, dunia akan huru-hara. Bila tulang rusuk patah, rosaklah jantung, hati dan limpa. Para lelaki pula jangan hanya mengharap ketaatan tetapi binalah kepimpinan.
Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Allah, pimpinlah diri sendiri dahulu kepadaNya. Jinakkan diri dengan Allah, nescaya jinaklah segala-galanya di bawah kepimpinan kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan